Tuesday, December 28, 2010

Sambutan Akhir Tahun Masehi



Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.

Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.

Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.

Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-

* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.

Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah"

Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).

Terdapat satu keadah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"

Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)

* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu, sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga.

* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).

* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.

Dikesempatan yang ada ini saya turut berbesar hati untuk mengiklankan satu program yang telah dirancang oleh pihak Masjid Asy-Syariff iaitu Karnival Malam Tahun Baru yang di adakan di Masjid Asy-Syariff Meru Klang. Ayuhlah kita bersama-sama menjayakan program yang elok lagi bermanfaat ini.

Disamping itu, marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhkan diri dari majlis sambutan akhir tahun yang melalaikan serta merugikan kita. Selain itu marilah kita bermuhasabah balik diri kita sepanjang tahun yang lalu dan kuatkan azam yang baru agar tahun yang mendatang ini lebih baik dari yang sebelumnya.

Wallahua`lam.

Saturday, December 25, 2010

Hukum Menyambut Krismas

Tanggal 25 bulan 12 setiap tahun , penganut Kristian akan menyambut hari raya Krismas. Gedung-gedung perniagaan dan supermarket semakin rancak mempromosikan krismas melalui Santa Clausnya. Cuma, yang menjadi persoalan ialah mengapakah terdapat dalam kalangan umat Islam yang turut seronok dan bergembira dengan kedatangan Krismas? Apakah umat Islam boleh menyambut Krismas sebagai suatu perayaan yang disambut dengan penuh bermakna?

Perayaan dalam Islam merupakan satu ibadah. Ia bukan merupakan adat dan budaya. Ibadah bermaksud pengabdian diri kepada Allah semata-mata. Ibadah dilakukan sebagai lambang ketaatan kepada Allah. Justeru, Rasulullah saw melarang golongan Ansar merayakan perayaan Jahiliyyah yang sudah sedia diamalkan oleh masyarakat Madinah sebelum kedatangan Islam. Sabda Rasulullah bermaksud:“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya(hari raya) iaitu hari raya Adha dan hari raya al-Fitri.” (Hadis riwayat Abu Dawud 1134, Nasaei 1556 dan Ahmad 1241).

Hadis nabi ini menegaskan dua perkara iaitu pertamanya; haram menyambut perayaan agama lain. Keduanya; Islam telah memberikan dua perayaan yang jauh lebih baik daripada perayaan Jahiliyyah iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya Ibnu Qayyim bersikap amat tegas dalam persoalan ini iaitu mereka melarang keras umat Islam daripada terlibat dan turut serta dalam sebarang perayaan kaum musyrikin dan ahli kitab. Ibn Taymiyyah juga menegaskan bahawa perayaan adalah satu syariat. Kata Ibn Taimiyyah: “perayaan merupakan sebahagian daripada syariat, manhaj dan ibadah yang disebut oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: ‘setiap umat Kami jadikan jalan ibadah yang mereka jalani’ (Rujuk Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim juz 1, hlm. 207 )

Perayaan-perayaan agama bukan aktiviti sosial semata-mata. Perayaan agama merupakan syiar bagi sesebuah agama tersebut. Ia merupakan salah satu ciri istimewa yang ada pada setiap agama. Justeru, Rasulullah menegaskan kepada Saidina Abu Bakar dengan sabda baginda yang bermaksud: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari perayaan. Dan ini merupakan hari perayaan kita.” (Hadis Bukhari 952 dan Muslim 892).

Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi serta beberapa ulama kerajaan Arab Saudi yang lain pula berpendapat bahawa hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti pada hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam.

Hujah yang dikemukakan oleh mereka ialah hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam diperintahkan agar tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka dia daripada golongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).Hujah mereka yang seterusnya ialah berdasarkan satu kaedah di dalam Islam iaitu ‘redha dengan kekufuran adalah kufur’. Justeru, turut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang.

Setiap perkara ibadah tidak boleh dikongsi dengan bukan Islam. Ini ditegaskan oleh firman Allah dalam surah al-Kafirun yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad). Wahai orang kafir! Aku tidak beribadah (mengabdikan diri) pada apa yang kamu abdikan diri. Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Dan aku bukanlah pengabdi (pelaku ibadah) pada apa yang kamu abdikan diri Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

Manakala Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi pula, ketika membahaskan perkara ini telah menyatakan bahawa tidaklah menjadi suatu kesalahan memberikan ucapan selamat hari raya kepada rakan dan jiran yang musyrikin, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini. Keharusan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu, sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil”. Namun, al-Qaradawi melarang keras daripada turut serta dalam perayaan yang berasaskan upacara keagamaan kerana ia melibatkan akidah dan kepercayaan.

Prof Dr Abd al-Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan ‘Ulum Quran di Universiti Azhar pula berpendapat bahawa mengucapkan tahniah dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak bercanggah dengan hukum syara’. Akan tetapi sekiranya ucapan tahniah dan selamat hari raya itu diungkapkan dalam bentuk doa seperti ‘moga Allah berkati pada keluarga dan hartamu’, ianya adalah haram dan dilarang sama sekali. Begitu juga menurut beliau harus memberi hadiah sebagai ucapan tahniah kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka, tetapi hadiah tersebut mestilah bukan sesuatu yang diharamkan seperti arak, potret lucah dan sebagainya.

Syeikh Dr. Mustafa Zarqa pula ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa mengucapkan tahniah atau ucapan selamat hari raya kepada kenalan bukan Islam adalah termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Namun, sesiapa yang keliru, contohnya dengan mengatakan bahawa sambutan hari kelahiran Isa adalah perayaan mereka (seperti Aidilfitri dan Aidil Adha), maka ia adalah haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang ketuhanan Isa.

Hujah yang dikemukakan oleh beliau antara lain ialah peristiwa yang berlaku pada zaman nabi s.a.w. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berdiri tatkala satu jenazah Yahudi melalui kawasan yang diduduki oleh Rasulullah dan para sahabat. Berdirinya Rasulullah itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut (iaitu bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut).

Namun, perlu juga diberi perhatian bahawa, mengucapkan selamat hari raya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakannya dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.

Justeru, apakah tidak merayakan perayaan agama selain Islam menafikan toleransi di antara kaum? Toleransi tetap wujud dengan bukan Islam, tapi bukan dalam perkara ibadah dan yang melibatkan perayaan agama. Toleransi kaum boleh dipupuk pada setiap hari dalam pergaulan harian. Toleransi di antara kaum juga boleh dipupuk ketika menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara dan sambutan lain yang bersifat patriotik. Sehubungan dengan itu, pupuklah toleransi di antara kaum dengan tanpa menggugat akidah Islam!.

Akhir kata jadikan Dakwah maksud hidup dan dunia sebagai sampingan…

Bunkcop..

Friday, December 17, 2010

7 Perkara Ganjil Seketika Di Liang Lahat


Asalamualaikum...

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s.w.t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur
untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."
*Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu.
*Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s.w.t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s.w.t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.
Sambung pemuda itu lagi, *Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?"
Jawab ahli ibadah tersebut, *Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"
Pemuda itu menyambung lagi, *Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Pabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu."
*Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.
*Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?"
Jawab ahli ibadah itu, *Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s.w.t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."
*Ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu.
*Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.
*Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,"

*Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.
*Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi.
Jawab ahli ibadah tersebut, *Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."
Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s.w.t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah.

Wallahua'lam..

Monday, December 6, 2010

SALAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1432


Assalamualaikum..

1 muharam 1432 - Salam Maal Hijrah buat sahabat dan kenalan sekalian, Alhamdulillah Allah masih memberi kesempatan kepada kita untuk menyambut tahun baru islam pada tahun ini, banyak pengertian disebalik sambutan hijrah, kalau kita lihat perkataan hijrah itu sendiri membawa maksud yang besar, bukan sekadar dilaungkan nyanyian lagu bukan sekadar diadakan suatu majlis besar-besaran atau membuat sepanduk yang besar , tetapi marilah kita bermunasabah pada diri kita sendiri pernahkah aku berhijrah? Dari kata lain sudahkah aku membuat persediaan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Insyallah lembaran baru pada tahun ini 1432 marilah kita sama-sama menyiapkan diri agar kita lebih berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keredhoanNya dalam apa pun aspek perbuatan kita.

Bunkcop

Saturday, December 4, 2010

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN


Kepada sahabat-sahabatku yang akan menduduki peperiksaan bagi semester ini marilah kita mendekatkan diri dengan Allah, dibawah ini ada beberapa tips untuk diamalkan..

Doa memulakan ulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ.

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.” -


Doa selepas mengulangkaji

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”

Doa Pada Hari Peperiksaan: berdoalah dengan doa-doa berikut pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung...mudah-mudahan mendapat hikmah daripada Allah Taala :


1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:

وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا

Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

2. Ketika menerima kertas soalan

:قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”


3. Ketika sukar menjawab

:ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ.

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”


4. Atau

:اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً.

Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”


5. Jika anda terlupa jawapan

:اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ.

Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku

Mudah-mudahan Allah akan memakbulkan doa yang lahir dari hati yang ikhlas dan suci murni. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu datang dari hambanya. Selamat maju jaya kepada semua sahabat-sahabat yang akan menduduki peperiksaan pada kali ini. Amin.

BitTaufiq wanNajah
ikhlas dari bunkcop

Thursday, December 2, 2010

WASIAT RASULALLAH


Wasiat Nabi Muhammad S.A.W. Kepada Saidina Ali R.A.

Wahai Ali, bagi orang MUKMIN ada 3 tanda-tandanya:

1) Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia.

2) Tidak terpesona dengan pujuk rayu.

3) Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia..

Wahai Ali, bagi orang 'ALIM itu ada 3 tanda-tandanya:

1) Jujur dalam berkata-kata.

2) Menjauhi segala yg haram.

3) Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yg JUJUR itu ada 3 tanda-tandanya:

1) Merahsiakan ibadahnya.

2) Merahsiakan sedekahnya.

3) Merahsiakan ujian yg menimpanya.

Wahai Ali, bagi org yg TAKWA itu ada 3 tanda-tandanya:

1) Takut berlaku dusta dan keji.

2) Menjauhi kejahatan.

3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda-tandanya:

1) Mengawasi dirinya.

2) Menghisab dirinya.

3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Wednesday, December 1, 2010

WASIAT IMAM SYAFIE


WASIAT IMAM SYAFIE

Imam Syafie pernah berkata "Kata-kataku benar, tapi mungkin ada yang salah. Kata-kata dia salah, tapi mungkin ada yang betul."

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamaT, maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI.

Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT

Iaitu: MengQadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR

Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing

merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR

Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT)

Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM : HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI AKHIRAT)

Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH : HAK KEPADA MALIK (PENJAGA NERAKA)

Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu

bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT PENJAGA SYURGA)

Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW

Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT

Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Wallahu A'lam..

wasiat yang berguna bukan sekadar HARTA



WASIAT LUQMANUL HAKIM BUAT ANAKNYA

1. " Hai anakku, jadikanlah takwa kepada Allah Taala sebagai perdaganganmu, engkau pun mendapat untung tanpa barang dagangan".
2. "Hai anakku, hadirilah jenazah-jenazah dan jangan menghadiri pesta kerana jenazah mengingatkanmu kepada akhirat sedangkan pesta menyebabkanmu menyenangi dunia"
3. "Hai anakku, janganlah engkau lebih lemah daripada ayam jantan yang berteriak di waktu pagi hari sedang engkau tidur di atas tempat tidurmu".
4. "Hai anakku, janganlah menangguhkan taubat. Kerana maut itu datang secara tiba-tiba".
5. "Hai anakku, jangan engkau mencintai orang bodoh,sehingga ia beranggapan engkau menyukai perbuatannya".
6. "Hai anakku, jauhilah kejahatan, nescaya kejahatan akan menjauhimu. Kerana kejahatan itu berjangkit".
7. "Hai anakku, hendaklah engkau bergaul dengan para ulama dan dengarlah pendapat para hukama (orang-orang bijaksana ). Kerana Allah menghidupkan hati yang mati dengan cahaya hikmah, sebagaimana menghidupkan tanah dengan hujan yang lebat. Jauhkanlah dirimu dari dusta dan akhlak yang buruk. Kerana orang yang berdusta hilanglah air mukanya ( rasa malunya ), dan orang yang buruk akhlaknya banyak kesedihannya. Memindahkan batu besar dari tempatnya lebih mudah daripada memahamkan orang yang tidak mengerti".
8. "Hai anakku, sesungguhnya dunia itu laut yang dalam. Banyak orang hanyut di dalamnya. Jadikanlah takwa kepada Allah sebagai kapalmu di dalamnya, dan peralatannya iman kepada-Nya serta layarnya tawakkal kepada Allah supaya engkau selamat".
9. "Hai anakku, apabila engkau ingin bersaudara dengan seseorang, buatlah dia marah sebelumnya. Jika dia berlaku bijaksana di waktu marah, teruskanlah. Kalau tidak, jauhilah dia ".
10. "Hai anakku, sejak engkau datang ke dunia, engkau meninggalkannya dan menghampiri akhirat. Tempat yang engkau tuju lebih dekat daripada tempat yang engkau tinggalkan ".
11. "Hai anakku, biasakanlah lidahmu mengucapkan "Ya Allah, ampunilah aku", kerana Allah mempunyai saat-saat ketika doa tidak ditolak ".
12. "Hai anakku, janganlah engkau berhutang. Kerana berhutang adalah kerendahan di siang hari dan kesusahan di malam hari ".

Dalam riwayat Tirmizi Nabi saw bersabda yang bermaksud :
"Peliharalah hak Allah, nescaya engkau mendapati-Nya dihadapan-Mu. Kenalilah Allah di kala sejahtera, nescaya Allah mengenalmu di kala susah. Dan ketahuilah, yang luput darimu tidak akan menimpamu, dan yang menimpamu tidak akan luput darimu. Ketahuilah, pertolongan itu bersama kesabaran dan kebebasan itu bersama musibah, dan sesungguhnya di samping kesulitan ada kemudahan ".
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Buat Pengunjung Blog Ku Sekalian

iklaneka

lagu



Gratisan Musik

Template by:
Free Blog Templates